Muzium Bugis terletak di sebelah Masjid Teluk Kerang, Kampung Teluk Kerang, daerah Pontian, negeri Johor,Malaysia. Muzium ini dibina oleh penduduk tempatan yang berminat menyimpan pelbagai koleksi sejarah berkaitan orang Melayu terutama etnik Bugis.
Orang Bugis datang ke Semenanjung Tanah Melayu setelah Makassar di Sulawesi diserang dan ditawan oleh pihak Belanda. Kebanyakan penduduk Pulau Ambon di Sulawesi berjaya dikristiankan oleh penjajah Belanda.
Bugis adalah salah satu rumpun Melayu yang berasal dari Sulawesi dan berhijrah ke Tanah Melayu pada lewat kurun ke-18 dan 19. Penghijrahan ini atas tujuan memperkenalkan dan mengabadikan budaya dan cara hidup komuniti Bugis di Johor, sebuah muzium telah dibina di Daerah Pontian.
Muzium Bugis ini dibuka secara rasmi pada 26 Julai 1994 oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Sabbaruddin Chik. Di sini, para pengunjung akan berpeluang melihat pelbagai artifak orang Bugis dan berbual dengan penjaga muzium yang berketurunan Bugis yang akan menceritakan tentang budaya dan adat resam mereka.
Warisan sejarah yang dijaga dan disimpan dengan baik akan membolehkan generasi seterusnya menyedari bahawa khazanah bangsa Malaysia sebenarnya kaya dan tinggi nilainya, di samping dapat mengenal tamadun yang tertua di kawasan Nusantara ini.
Muzium yang terletak lebih kurang 7 kilometer dari bandar Pontian Kecil dan 12 kilometer dari Kukup Laut itu menghimpunkan kira-kira 1,715 pelbagai jenis barang antik yang berharga. Muzium yang telah mempamerkan barangan antik sejak 1982 diusahakan atas daya inisiatif pemilik muzium tersebut dengan membangunkan sebahagian rumahnya sebagai bilik pameran muzium. Muzium tersebut dibesarkan sedikit demi sedikit mengikut kemampuan kewangan yang ada, yang diperoleh daripada hasil sumbangan orang ramai dan pihak Muzium Negara.
Sehingga sekarang, dewan pameran muzium itu telah mengalami banyak perubahan kerana pertambahan artifak yang dijual oleh orang perseorangan kepada pemilik untuk dipamerkan sebagai bahan warisan sejarah.
Baru-baru ini, pemilik muzium tersebut memperoleh empat buah meriam yang digunakan oleh tentera Bugis pada abad ke-16 di negeri Johor yang melambangkan penguasaan bangsa itu ke atas Empayar Johor-Riau satu masa dahulu.
Selain daripada itu terdapat salah silah susur galur tentang kerajaan negeri Johor terdapat dan dipamerkan di sini. Termasuk juga surat daripada Sultan Johor.
Susur galur
Sultan
Segala peralatan seperti pinggan mangkuk, baju Bugis, alat peperangan tentera Bugis, seperti lembing, tombak, badik kelewang, bakul-bakul lama, alat perhiasan, katil, peti besi dan sebagainya dipamerkan untuk tatapan masyarakat Malaysia.
Pelancong yang ingin melawat muzium ini tidak dikenakan sebarang bayaran, sebaliknya menderma seikhlas hati bagi membantu membangunkan muzium terbabit.
Jadi apa lagi, jom kita melawat warisan yang amat bernilai ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan